”SEPANJANG tempoh perkhidmatan saya, saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat. Oleh itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung yang akan datang. Saya tidak mahu melihat UMNO dan Barisan Nasional berpecah-belah.”Kenyataan ini dilafazkan tepat pukul 5.22 petang semalam di Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sekali gus menamatkan segala spekulasi mengenai kedudukan beliau sebagai Presiden UMNO.
Abdullah yang muncul dengan wajah ceria pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional membaca satu demi satu kenyataan akhbar yang terkandung dalam tiga setengah halaman.
Walaupun pada sebelah paginya terdapat sebilangan penyokong beliau berhimpun di Putrajaya dan di sebelah petangnya di PWTC bagi meminta beliau terus bertahan sehingga 2010, namun Abdullah mempunyai percaturan sendiri.
Beliau meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya. Justeru, Abdullah membuat keputusan untuk berundur dengan jaminan melaksanakan beberapa inisiatif sebelum menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada bakal pengganti beliau.
Ternyata, Abdullah seperti mana kata beberapa pemimpin komponen BN menunjukkan jiwa yang besar apabila bersedia melepaskan jawatan demi untuk memastikan kestabilan parti dan negara tidak tergugat.
Keputusan Abdullah sekali gus menamatkan spekulasi yang mula tercetus sejak akhir bulan lalu apabila beliau menyatakan akan mengumumkan kedudukannya dalam UMNO sebelum 9 Oktober.
Sepanjang tempoh itu rakyat dihiasi dengan pelbagai spekulasi, malah beberapa jam sebelum Abdullah menyatakan secara rasmi keputusannya, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) masih bertebaran bahawa beliau akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO.
Namun, jelas sekali Abdullah tidak terpengaruh dengan pelbagai andaian atau tafsiran yang ada, antaranya ada pihak masih berusaha sehingga ke saat-saat akhir untuk memastikan beliau tidak melepaskan jawatan.
Bagi Abdullah, kelancaran peralihan kuasa pada bulan Mac ini seperti dijanjikan harus diutamakan. Justeru, beliau membuat keputusan tidak bertanding jawatan Presiden UMNO.
Kemudi kepimpinan negara dan UMNO akan diserahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dengan janji Abdullah untuk mengotakannya.
Kata beliau: “Saya ingin menyerahkan kepada bakal pengganti saya Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu untuk berhadapan dengan sebarang cabaran ekonomi global, Malaysia yang tidak mengira atau memandang miskin dan kaya, tua atau muda, di bandar atau di desa, utara atau selatan, apatah lagi kaum atau agama, melainkan perpaduan dan keharmonian.”
Sebelum pelbagai pihak melangkah dengan agenda politik yang lebih jauh mengenai siapa bakal bergandingan dengan Najib, Abdullah seharusnya diberikan sokongan padu oleh semua anggota Kabinet bagi melunaskan impian-impian beliau.
Abdullah sudah menyatakan antara agenda yang akan dilakukan adalah memperkukuhkan beberapa institusi negara iaitu badan kehakiman melalui pembentangan rang undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan penubuhan Suruhanjaya Aduan Khas.
Semua ini adalah agenda Abdullah sebelum meninggalkan Putrajaya dan Seri Perdana. Oleh itu semua pihak harus memberi sokongan seperti mana Najib berjanji akan membantu usaha tersebut.
Bagi pemimpin dan ahli UMNO pula, mereka harus menerima keputusan Abdullah dengan hati terbuka. Segala impian Abdullah yang tidak mahu melihat negara ini berpecah belah harus direalisasikan.
Mereka harus ingat pesanan Abdullah pada akhir kenyataan medianya iaitu, ”Ini bukan masanya untuk kita berbalah sesama sendiri atau untuk kita berpolitik secara sempit. Ini adalah masa untuk memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara kita. Ini adalah masa untuk kita meletakkan kepentingan negara di hadapan mengatasi segala-galanya.”
Sememangnya Abdullah telah melakukan pengorbanan yang cukup besar selepas 45 tahun berkhidmat kepada negara, bermula sebagai pegawai kerajaan sebelum menjadi Perdana Menteri sejak lima tahun lalu.
Semua itu mampu dilaksanakan seperti mana kata beliau: ”Saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.”
Sumber-Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment